Sumbangan kami

Sumbangan kami

Wednesday, September 24, 2008

Madrasah Tahfiz al-Quran ar-Rasyid perlukan bangunan baru selepas kebakaran

diambil dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Oleh: RAHANA MD


HANGUS...beberapa pelajar yang tinggal sehelai sepinggang meninjau tapak madrasah yang terbakar.

PETANG itu, cuaca panas terik dan silau matahari terpancar cerah walaupun telah melepasi waktu asar dan telah dua hari berturut-turut keadaan tersebut dialami di Kampung Delek Kiri, Klang, Selangor.

Tidak seperti dua hari sebelumnya, awan berarak laju dan menghimpun mendung yang akhirnya hujan turun dengan lebatnya.

Aktiviti Madrasah Tahfiz al-Quran ar-Rasyid seperti biasa, hampir 40 pelajar dengan beberapa tenaga pengajar berduyun-duyun menunaikan solat Asar di Surau Haji Sulaiman yang terletak di hadapan madrasah.

Ketika sedang khusyuk berwirid, mereka dikejutkan dengan suara kuat, api! api! terbakar! terbakar!.

Kesemua yang berada di dalam masjid bingkas bangun dan menerpa keluar dan alangkah terkejutnya melihat bangunan madrasah dipenuhi asap dan api marak di bahagian belakang.

Tanpa berlengah dan mempedulikan keselamatan, para pelajar bertempiaran menuju ke madrasah untuk menyelamatkan barang-barang namun mereka hanya sempat menarik sebuah van dan motosikal yang terletak berhampiran.

Bunyi letupan kuat mengejutkan dan masing-masing tergamam dan ketakutan.

Bangunan madrasah dan barang-barang di dalamnya hangus dalam kebakaran yang hanya memakan masa 10 minit dan apabila pasukan bomba tiba, bangunan separuh batu dan separuh papan itu rentung.

Musnahlah bangunan yang menempatkan hampir 40 pelajar tahfiz al-Quran yang menjadikan bangunan tersebut sebagai tempat menuntut ilmu sekali gus tempat tinggal selama ia dibangunkan sejak lima tahun yang lalu.

Menurut pengasas dan juga tunggak utama madrasah, Rashid Abd Ghani kejadian yang berlaku terlalu pantas.

“Ramai pelajar yang ingin menyelamatkan barang-barang tetapi kami terpaksa kawal dengan menutup pintu pagar kerana bimbang keselamatan mereka.

“Hanya beberapa orang yang sempat menarik van dan motosikal untuk diselamatkan tetapi yang lain-lain musnah,’’ ujarnya sedih.

Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bangunan dan barang-barang di dalamnya dianggarkan bernilai hampir RM80,000.

“Kesemua kelengkapan pelajar seperti buku-buku, kitab-kitab dan al-Quran habis terbakar termasuk pakaian, barang-barang harian, dewan makan, dewan mentelaah, bilik tidur dengan tilam, bantal dan selimut, peralatan elektrik seperti peti ais, komputer dan juga sejumlah wang perbelanjaan harian para pelajar.

“Kebakaran turut memusnahkan rumah guru yang terletak di bahagian belakang madrasah dan beberapa batang pokok kelapa kerana api terlalu marak dan menjulang tinggi,’’ ujarnya.

Walaupun pun reda dengan apa yang berlaku namun sebagai manusia biasa yang ingin melihat generasi muda terus celik dan menghayati al-Quran, Rasyid berusaha untuk mengumpul dana.

“Saya amat berharap kebakaran yang terjadi tidak akan menumpulkan semangat para pelajar serta memusnahkan impian mereka terus belajar di sini.

“Walaupun buat masa sekarang pelajar menumpang teduh di surau yang berhampiran dalam serba kekurangan, namun saya akan berusaha membangunkan semula madrasah,’’ katanya.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa pelajar yang masih sugul dan murung dengan kejadian tersebut dan pihaknya akan berusaha membaiki keadaan.

“Ada di kalangan pelajar masih trauma dan bersedih dengan keadaan yang berlaku lebih-lebih lagi di kalangan yang masih kecil. Kebakaran itu turut memusnahkan kesemua fail dan data peribadi pelajar tetapi ia akan dikemas kini dalam masa terdekat ini,’’ katanya.

Tinjauan wartawan Mega ke tapak madrasah yang hangus terbakar mendapati hanya tinggal beberapa keping talam dan cebisan al-Quran.

Menurut Rasyid, pihak bomba memberitahu besar kemungkinan kebakaran berpunca daripada litar pintas alat pemanas air yang terbakar dan menyambar peti ais dan merebak mengenai tilam.

“Kejadian ini amat mengejutkan namun aktiviti harian terus beroperasi kerana kami akan mendirikan bangunan sementara di belakang surau untuk meneruskan pengajian.

“Apabila cukup bantuan dan dana yang terkumpul, insya-Allah, bangunan madrasah yang baru akan dibina semula,’’ katanya penuh harapan.

Terdapat lebih kurang 100 pelajar menuntut ilmu di situ dengan 60 pelajar sepenuh masa dan selebihnya pelajar separuh masa.

“Para pelajar datang daripada seluruh pelosok negara termasuk dua orang dari Sabah. Seramai 40 pelajar tinggal di madrasah dan selebihnya anak-anak masyarakat kampung berhampiran.

“Pelajar separuh masa terdiri daripada pelajar sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun yang hadir persekolahan pada sesi pagi dan petang.

“Manakala pelajar sepenuh masa berusia 13 hingga 18 tahun yang menghafal al-Quran, belajar fardu ain dan asas bahasa Arab.

“Pengisian aktiviti pelajar bermula seawal 4.30 pagi dimulakan dengan solat tahajud, halaqah, bacaan yasin, hafalan hingga 10.30 malam masuk waktu tidur setiap malam,’’ katanya.

Katanya lagi, objektif madrasah tidak menyasarkan kepada sijil kelulusan tetapi memahami ilmu dan mengamalkannya.

“Selepas tamat pengajian di sini sekurang-kurangnya tiga tahun, para pelajar akan menyambung pengajian ke sekolah-sekolah pondok di sekitar Kelantan dan Trengganu dan terpulang kepada pelajar sendiri untuk menyambung ke negara-negara Asia Barat.

“Terdapat pelajar yang berasal dari madrasah ini melanjutkan pelajaran ke Yaman dan jika mereka mahu menyambung ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau kolej, pelajar digalakkan mengambil tuisyen dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),’’ ujarnya.

Tersentuh melihat kegigihan para pelajar yang masih tekun menelaah dan menghafal al-Quran walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Mereka amat berharap madrasah tempat mereka menuntut ilmu dapat didirikan secepat mungkin bagi meneruskan pengajian.

Kepada yang ingin menyumbang, hubungi talian 019-2345980 dan 012-656 1274 atau bantuan terus ke akaun Bank Islam, 12010010075324 atas nama Madrasah Tahfiz al-Quran ar-Rasyid.

No comments: